Site Network: Home | Blogcrowds | Gecko and Fly | About

a

PROSPEK dunia digital dalam hampir semua urusan kehidupan akan datang mendorong Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadikan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai bidang serius dan komprehensif dengan menjadikannya tunggak perniagaan masa depan.
Bagi melancarkan sasaran baru yang bakal menjadi program induk dalam bisnes UUM untuk jangka panjang, satu memorandum persefahaman bersama (MoU) dengan syarikat pengendali industri ICT terkemuka, SAS Business Intelligence Competency Centre (BICC) Asia Pasifik dimeterai.
Tunggak bisnes
Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr. Nordin Kardi berkata, penglibatan UUM dalam industri ICT sebagai tunggak bisnes untuk jangka panjang itu akan dikendalikan sepenuhnya oleh R&D SerindIT Com UUM Sdn. Bhd. (SerindIT)
“SerindIT adalah syarikat milik penuh UUM yang akan bertanggungjawab menjana operasi ICT sebagai bidang bisnes utama,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut beliau, melalui persefahaman tersebut SerindIT bukan sahaja bakal menjadi pengeluar dan pencipta pelbagai produk dalam ICT untuk masa depan malah menjadi pemangkin kepada usaha UUM melahirkan graduan profesional dalam bidang berkenaan.
Melalui falsafah The Power To Know, Nordin berkata, UUM serius dan komited bukan sahaja untuk menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), malah pengeluar R&D ICT dan produk-produk berkaitan untuk keperluan negara dan pasaran global.
“Ini antara komitmen UUM dalam menyumbang kepada ekonomi negara selain melahirkan sumber insan berkeupayaan tinggi untuk bersaing secara terbuka dalam dunia teknologi digital,” jelasnya.
SerindIT yang diurus selia sepenuhnya oleh ahli perniagaan, Datuk Khalid Ahmad selaku Pengerusi syarikat, turut dianggotai berapa ahli akademik berpengalaman dalam ICT berkelulusan doktor falsafah (PhD) dan bertaraf profesor untuk menjayakan pelaksanaan R&D serta produk-produk ICT.
Sementara itu, Khalid ketika memperkatakan mengenai misi SerindIT berkata, usaha itu telah bermula sejak hampir 20 tahun lalu.
“Ia bukan perkara baru kerana UUM telah bermula dalam bidang ini dan dilesenkan di bawah SAS Software sejak tahun 1989 lagi,” jelasnya.
Sejak itu kata beliau, SAS adalah pembekal pembangunan kurikulum, perundingan dan latihan dalam dunia digital dan pengembangan keilmuan ICT kepada UUM.
Menurutnya, mahu tidak mahu negara perlu ada institut pengajian tinggi (IPT) yang memberi sepenuh komitmen bagi membangun, memaju dan menerokai ICT sebagai suatu bisnes di samping pusat melahir tenaga insan yang mahir dan pakar dalam teknologi ini.
Ini kerana tegas Khalid, pengajian dalam ICT mampu menarik minat pelajar sebagai persiapan menghadapi dunia digital akan datang.

BAGI menyediakan platform bersepadu bagi media hiburan rumah, komunikasi peribadi dan perkongsian media peribadi, syarikat Komputer NEC Computer (NEC) melancarkan strategi Home IT (HIT).
Hiburan rumah bersepadu dengan teknologi maklumat (IT) telah mempengaruhi gaya hidup seharian keluarga muda dan remaja.
Visi NEC adalah membangunkan komunikasi HIT bersepadu bagi meningkatkan keceriaan, selesa dan pembangunan media dengan teknologi IT terkini.
Pengarah Pemasaran NEC Computer Asia, Makoto Iwasaki berkata, pihaknya menyasarkan untuk menjadikan IT lebih ceria dan mudah digunakan serta berinteraksi dengan semua orang.
“Menjadi jenama komputer peribadi (PC) pengguna terkenal di Jepun, kami percaya NEC boleh memperkenalkan strategi integrasi HIT yang berjaya di rantau ini,” katanya.
Bagi memperkenalkan strategi berkenaan, NEC bekerjasama dengan Cyberlink – pembekal penyelesaian multimedia digital bagi memperkenalkan siri penuh PC desktop dan komputer buku pengguna yang datang dengan ciri-ciri rangkaian media peribadi.
NEC secara aktif mempromosikan siri POWERMATE X, pelayan media peribadi dengan ciri-ciri RAID yang mempunyai kapasiti simpanan cakera keras 2TG (terabait).
Bersama-sama dengan CyberLink Media Server, pengguna akan boleh membina sistem komputer pelayan media dengan mudah.
NEC akan memasang CyberLink SoftDMA dalam rangkaian komputer riba, desktop dan PC hibrid yang baru dilancarkan.
Dengan ini pengguna boleh menghubungkan PC pengguna dengan pelayan media melalui rangkaian tanpa wayar dalam rumah dengan hanya melakukan beberapa sentuhan klik.
Mereka tidak lagi perlu bimbang dengan ruang penyimpanan dan masa pemindahan kerana semua fail media akan dihantar dari pelayan secara terus.
Tambahan pula POWERMATE X juga akan menyokong perkongsian media dengan peralatan rumah lain dan konsul permainan seperti XBOX.
Apabila lebih banyak kandung diubah kepada digital, pengguna memerlukan ruang penyimpanan lebih besar bagi menyimpan fail media.
Kelebihan mempunyai penyimpan media PC tunggal di rumah menjadikan pengguna lebih mudah mengakses ke perpustakaan digital bagi dokumen, foto, rak video dan audio dan berkongsi secara terus daripada PC menggunakan teknologi rangkaian saliran (streaming) media.
“NEC HIT menyerlahkan idea ringkas dan meningkatkan interaksi hiburan. Ini menjimatkan masa dan kos ruang penyimpanan,” jelas Iwasaki.
Ke arah persepaduan total, pengguna menjadi semakin tersusun dengan fail-fail mereka dan lebih penting mereka tidak lagi ketinggalan muzik kegemaran, program televisyen dan terlupa dokumen penting semasa bertugas.
POWERMATE X membenarkan perkongsian media di Internet walaupun semasa pengguna di luar rangkaian rumah.
Dengan memasuki laman web CyberLink Live, mereka boleh mengakses foto, muzik dan video kemudian menyimpannya dalam POWERMATE X dan berkongsi keseronokan dengan rakan-rakan di mana saja dan pada bila-bila masa.
Dengan apa-apa peralatan perisian pelajar web, pengguna juga boleh secara jarak jauh merekod drama televisyen yang digemari.
Walaupun di seberang laut, pengguna boleh menonton video, tayangan televisyen dan menontonnya secara terus.
Pengguna juga tidak perlu risau mengenai anak-anak atau haiwan peliharaan di rumah kerana dengan webcam, mereka boleh memantaunya secara langsung walaupun berada jauh dari rumah.
NEC HIT memberikan kemudahan teknologi bagi hiburan kelas pertama bagi menyediakan pengguna rumah digital untuk mengakses kandungan pada bila-bila masa, dan di mana saja menggunakan pelbagai peralatan digital.
Konsep NEC HIT adalah untuk memberikan kepuasan kepada pengguna yang gemarkan hiburan sambil bekerja menyediakan kebebasan penuh bagi berkongsi maklumat dalam masa yang singkat.
Perkongsian media di rumah atau di Internet merupakan langkah pertama ke arah integrasi hiburan rumah dan IT.
NEC akan melancarkan beberapa siri program komunikasi dan aplikasi media bersama-sama dengan konsep baru pada pertengahan tahun depan bagi meningkatkan pengalaman pengguna NEC.