PROSPEK dunia digital dalam hampir semua urusan kehidupan akan datang mendorong Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadikan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai bidang serius dan komprehensif dengan menjadikannya tunggak perniagaan masa depan.
Bagi melancarkan sasaran baru yang bakal menjadi program induk dalam bisnes UUM untuk jangka panjang, satu memorandum persefahaman bersama (MoU) dengan syarikat pengendali industri ICT terkemuka, SAS Business Intelligence Competency Centre (BICC) Asia Pasifik dimeterai.
Tunggak bisnes
Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr. Nordin Kardi berkata, penglibatan UUM dalam industri ICT sebagai tunggak bisnes untuk jangka panjang itu akan dikendalikan sepenuhnya oleh R&D SerindIT Com UUM Sdn. Bhd. (SerindIT)
“SerindIT adalah syarikat milik penuh UUM yang akan bertanggungjawab menjana operasi ICT sebagai bidang bisnes utama,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut beliau, melalui persefahaman tersebut SerindIT bukan sahaja bakal menjadi pengeluar dan pencipta pelbagai produk dalam ICT untuk masa depan malah menjadi pemangkin kepada usaha UUM melahirkan graduan profesional dalam bidang berkenaan.
Melalui falsafah The Power To Know, Nordin berkata, UUM serius dan komited bukan sahaja untuk menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), malah pengeluar R&D ICT dan produk-produk berkaitan untuk keperluan negara dan pasaran global.
“Ini antara komitmen UUM dalam menyumbang kepada ekonomi negara selain melahirkan sumber insan berkeupayaan tinggi untuk bersaing secara terbuka dalam dunia teknologi digital,” jelasnya.
SerindIT yang diurus selia sepenuhnya oleh ahli perniagaan, Datuk Khalid Ahmad selaku Pengerusi syarikat, turut dianggotai berapa ahli akademik berpengalaman dalam ICT berkelulusan doktor falsafah (PhD) dan bertaraf profesor untuk menjayakan pelaksanaan R&D serta produk-produk ICT.
Sementara itu, Khalid ketika memperkatakan mengenai misi SerindIT berkata, usaha itu telah bermula sejak hampir 20 tahun lalu.
“Ia bukan perkara baru kerana UUM telah bermula dalam bidang ini dan dilesenkan di bawah SAS Software sejak tahun 1989 lagi,” jelasnya.
Sejak itu kata beliau, SAS adalah pembekal pembangunan kurikulum, perundingan dan latihan dalam dunia digital dan pengembangan keilmuan ICT kepada UUM.
Menurutnya, mahu tidak mahu negara perlu ada institut pengajian tinggi (IPT) yang memberi sepenuh komitmen bagi membangun, memaju dan menerokai ICT sebagai suatu bisnes di samping pusat melahir tenaga insan yang mahir dan pakar dalam teknologi ini.
Ini kerana tegas Khalid, pengajian dalam ICT mampu menarik minat pelajar sebagai persiapan menghadapi dunia digital akan datang.